Thursday, October 7, 2010

Terima Kasih Sayang

Payah sungguh aku hendak lena
malam ini. Dari tadi aku hanya
melayan perasaan. Aku jeling ke
arah jam di atas meja, sudah
pukul 3 pagi. Aku menoleh pada
isteri kesayanganku yang lena
tidur dibuat mimpi. Ayu
wajahnya, seayu namanya. Cinta
pertamaku. Sejak dari tingkatan
lima, aku telah jatuh hati dengan
kelembutannya. Hatinya ikhlas
menerima aku seadanya. Lima
tahun di awal perkahwinan kami,
Ayu banyak berkorban. Dia
berusaha untuk memastikan
kerjaya dan syarikat pembinaan
yang aku tubuhkan dengan
tulang empat keratku ini berjaya.
Ayu adalah tulang belakang aku
selama ini. Aku tidak tahu apa
akan terjadi sekiranya aku
kehilangan Ayu.
Setahun yang lalu semuanya
bermula. Kisah yang tidak
mungkin aku lupakan sehingga
akhir hayatku. Aku cuma
berharap dan berdoa agar Ayu
sanggup memaafkan aku di
dunia dan akhirat kelak.
"Tolong sayang, maafkan
abang." Bisikku ke telinga Ayu.
Aku mengimbau kembali
kenangan aku bertemu Liya.
Petang di bulan Februari itu, aku
bergegas untuk berjumpa
pelanggan baru di Jalan
Ampang. Aku terlambat
disebabkan oleh kesesakan lalu
lintas.
"Aduh! sakitnya." Aku terdengar
suara halus merungut. Rupanya
aku terlanggar seseorang di
hadapan pintu lift bangunan
Cahaya Suria. Aku lihat dia
terjatuh dan dokumen yang
dibawanya jatuh bertaburan.
"Maafkan saya saudari." ujarku
penuh kekesalan. Aku terpegun
melihat senyuman manisnya.
Menawan.
"Tak mengapalah encik. Saya
yakin encik tidak sengaja."
ujarnya ikhlas. Sambil tanganya
mengumpul dokumen yang
bertaburan. Aku turut
membantu. Dia tersenyum.
"Saya err..saya Yahaya..err
awak?" aku sendiri terkejut
mendengar soalan yang keluar
dari mulutku itu. "Saya Liya.
Encik Yahaya bekerja di
bangunan inikah? Tak pernah
nampak pun" tanyanya lembut.
"Oh, tidak. Saya datang untuk
berjumpa pelanggan baru di sini.
Rasanya di tingkat 5." jawabku,
mataku masih merenungnya. Dia
kelihatan gelisah.
Kegelisahan Liya terjawab apabila
aku ketahui yang dia bekerja
untuk Encik Jamal, pelanggan
baruku. Syarikat Ukir Indah Sdn
Bhd milik Encik Jamal ingin
bekerjasama dengan syarikat
milikku untuk projek pembinaan
rumah kos rendah di Sungai
Buloh. Bagai di rancang, Liya
bekerja sebagai pembantu
peribadi Encik Jamal. Sejak itu,
kami sering bertemu. Lima bulan
lamanya aku menanggung rasa
berdosa terhadap Ayu. Namun
kepercayaan seratus peratus
yang diberikan Ayu
memudahkan pergerakkan aku.
Bukannya aku sengaja. Aku
mengaku Ayu pasti merana jika
dia tahu tindakan aku berjumpa
Liya. Aku pernah cuba untuk
melupakan Liya, namun tidak
berjaya. Pada pandanganku,
kedua-dua wanita ini bagai
pelengkap dalam hidupku.
Ayu bagaikan tulang belakang
yang menyokong aku selama ini.
Liya? Liya bagaikan penyeri
dalam hidupku. Tamakkah aku?
"Apa? Abang ingin menikah
lagi?" masih terngiang-ngiang
jeritan Ayu di telingaku. Aku
melihat airmatanya jatuh
berlinangan. Runtuh tembok
kejantananku. Aku rasa berdosa.
"Sampai hati Abang! Di mana
Abang campakkan pengorbanan
Ayu selama ini? Abang sanggup
menduakan Ayu. Bagaimana
dengan anak-anak? Lupakah
Abang yang Abang sudah ada
dua orang anak? Sanggup
Abang menipu Ayu selama ini!"
Ayu menjerit sekuat hati. Seolah
diserang histeria. Aku hanya
membatu.
"Maafkan Abang, Ayu. Abang
bersumpah bahawasanya Abang
tidak akan melalaikan
tanggungjawab Abang pada
anak-anak." Janjiku sepenuh hati
dengan harapan Ayu akan
memahami.
Ayu merengus. "Janji, sumpah,
janji, sumpah. Abang sudah
terang-terangan menipu Ayu.
Abang kata sibuk kerana
berjumpa dengan pelanggan
tetapi Abang berdua-duaan
dengan perempuan tu. Apa
maksudnya ini Abang?"
Aku terdiam. Setiap patah
perkataan Ayu ada benarnya.
Aku banyak membuat kesilapan.
Tapi aku buntu. Aku sendiri tidak
tahu bagaimana caranya untuk
aku atasi dilemaku ini. Aku
bersolat istikarah selama dua
bulan. Selama itulah juga, aku
keraskan hati untuk tidak
berjumpa dengan Liya. Masuk
bulan ke tiga, aku nekad ingin
berjumpa dengannya. Namun
aku terkedu. Liya sudah tiada.
"Maafkan saya encik. Cik Liya
sudah sebulan meletakkan
jawatan." masih terngiang-ngiang
kata-kata itu dicuping telingaku.
Aku yakin aku telah kehilangan
Liya buat selamanya.
Aku cuba menghilangkan
kesedihan aku dengan
menyibukkan diri di pejabat. Aku
giat mencari pelanggan dan
bisnes baru. Aku sedar, aku
telah banyak mengabaikan Ayu.
Aku sering bekerja ke luar
bandar. Tidak kusangka, apabila
aku menerima pelawaan Encik
Azman untuk makan
bersamanya di Muara Kedah,
aku dapat bersua kembali
dengan wajah yang sangat aku
rindui.
Sedangkan aku menikmati
makanan laut bersama Encik
Azman, aku terpaku pada
sebujur wajah yang murung
sedang asyik termenung.
Rasanya macam aku kenali wajah
itu. Ya, wajah yang aku rindui
selama ini. Itulah dia.
"Abang, jika Abang memang
berniat ikhlas untuk kita bersatu,
Abang mesti bawa Liya berjumpa
dengan Kak Ayu." Itulah kata-
kata hikmah yang diutarakan
oleh Liya. Aku terkejut. Namun
aku tersenyum bangga
mendengar kata-katanya.
Masih terbayang dengan jelas
dimataku bagaimana Liya
memeluk, mencium kedua pipi
Ayu dan kedua tangan Ayu
memohon maaf dengan linangan
airmata. Aku lihat Ayu terkedu.
Walau ada riak kemarahan
diwajah, namun dia hanya
mendiamkan diri. Aku paham,
Ayu cuba untuk bertenang.
Bertindak di luar batasan tidak
akan memberi sebarang faedah
buat kami bertiga.
Tanggal 20 Februari 2010, aku
selamat diijabkabulkan dengan
Liya. Aku sangat berterima kasih
kepada Liya yang aku lihat
sangat memahami akan
kedudukan kami bertiga. Dia
amat menghormati Kak Ayunya.
Dia berusaha untuk menjaga hati
dan kebajikan Kak Ayunya. Dia
seolah-olah menjadi pelindung
Kak Ayunya. Tidak aku nafikan
aku cemburu melihatnya yang
kadang-kadang melebihkan Kak
Ayunya itu.
Namun kebahagian Liya hanya
bertahan tiga bulan cuma.
Perkhabaran Doktor Amar
tentang penyakit kanser Liya
amat memeranjatkan kami.
Menurut katanya, penyakit yang
ditanggung oleh Liya sejak dari
kecil itu tidak dapat lagi diubati.
Kami pasrah.
Di petang Jumaat yang redup,
aku lihat Liya menangis buat kali
pertamanya.
"Terima kasih Kak Ayu. Terima
kasih kerana sudi membenarkan
Liya merasa kebahagian yang
tidak mungkin Liya temui
sendirian. Liya hanya ingin
menumpang kasih sayang Kak
Ayu dan Abang. Liya sedar, siapa
diri Liya. Tapi percayalah Kak
Ayu yang sebenarnya Kak Ayu
masih bertahkta di hati Abang.
Saya berharap Kak Ayu
janganlah memandang serong
pada saya, kerana secara
jujurnya saya juga turut teringin
untuk merasa bahagia dan
merasa untuk disayangi oleh
seseorang yang menyayangi saya.
Maafkan saya sekiranya saya
menceroboh kebahagian Kak
Ayu. Sesungguhnya..."
Tepat jam 12.00 malam Jumaat
itu, Liya pergi buat selamanya.
Segala persoalan yang bermain
di kepalaku selama ini terjawab
dengan pemergian Liya. Liya
sudah lama mengetahu akan
penyakit yang ditanggungnya.
Keputusan Liya untuk berhenti
kerja hanyalah untuk pergi
mencari ketenangan setelah
mengetahui tiada harapan
buatnya lagi. Pertemuan semula
yang tidak dirancang itu memang
sesuatu yang telah ditakdirkan.
Aku mengusap ubun-ubun isteri
kesayanganku yang lena dibuai
mimpi. Banyak pengorbananmu
Ayu. Selama ini kau tidak pernah
menghampakan suamimu ini.
Terima kasih sayang.

No comments:

Post a Comment